27.6.08

tazk|rah Jumaat


‏خَصْلَتَانِ من كَالم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَنَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه ى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه
Maksudnya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya
(Riwayat At-Tirmidzi, 4/665; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Ulasan Hadith:

Hadith di atas menerangkan tentang ciri-ciri orang yang sabar dan bersyukur iaitu orang-orang yang sentiasa meningkatkan kualiti amalan kebajikan yang dilakukannya dengan mengambil contoh yang baik daripada orang lain serta sentiasa bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepadanya jika dibandingkan dengan orang-orang yang lebih susah.

Rasulullah s.a.w mengajar kita, dalam hal keagamaan untuk sentiasa mencari dan memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih dari kita, manakala dalam hal dunia melihat mereka yang lebih kurang bernasib baik, dengannya kita akan sentiasa mensyukuri nikmatNya.

Namun adalah malang kerana ramai yang mengamalkan hadis ini secara terbalik. Dalam hal dunia sering kita dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga nafsu keduniaan meningkat dan tidak mementingkan aspek hukum halal haram.

Dalam bab akhirat pula ada yang sering melihat orang yang lebih teruk darinya, lalu mengganggap dirinya agak lebih baik. Antara perkataan yang dikeluarkan mereka ialah “ sekurang-kurangnya aku telah memakai tudung, lebih baik daripada orang yang tidak pakai tudung” atau “ aku tetap bersolat walau pun tidak pernah cukup 5 waktu, dibandingkan dengan orang yang tidak pernah solat, aku jauh lebih baik”.

Kenapa dalam soal ibadah kita sering membuat perbandingan dengan orang yang tidak melakukannya atau tidak sempurna melakukannya. Alangkah indahnya jika kita membandingkan dengan orang yang melaksanakan perkara tersebut dengan sempurna sebagaimana yang selalu dilakukan di tempat kerja? Sudah tentu amalan kita akan bertambah baik kualitinya dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Biarlah kita mendapat kebaikan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Jadikan dunia sebagai ladang yang hasilnya akan kita tuai di akhirat kelak.

Wallahua’lam.

No comments: